Wednesday, February 23, 2011

Lampiran

Gambar Dari Sudut Hadapan


Gambar Tabung- Tabung Masjid
Pelan Naik Taraf Masjid

Gambar Papan Buletin Masjid

Gambar Ruang Wudhu

Gambar Carta Organisasi Pentadbiran Masjid

Gambar Bunting Pelan Pembesaran Masjid

Pelan Lokasi Masjid Jamiul Ehsan
Gambar Bunting Kutipan Dana Pembesaran Masjid

Bibliografi

Abu Ezzat Al-Mubarak. (2007) Sejarah Kota Makkah dan Madinah. Kuala Lumpur: Pustaka Al- Shafa.

Dr. Muhammad Sharif Chaudry. (2006). Social and Morale Code of Islam. Selangor: Masterpiece Publication Sdn. Bhd.

Dr. Ahmad Syalabi. (2010)  Ensiklopedia Sejarah Islam. Selangor: Jasmin Publications Sdn. Bhd.

Imam Al-Ghazali. (2010) Rahsia Solat.  Kuala Lumpur: Crescent News Sdn. Bhd.

Mahmood Zuhdi Hj Abd Majid.  (2010).  Keunggulan Peranan Masjid Sepanjang Zaman. Artikel Online mahmoodzuhdi.com.

Norrodzoh Hj Siren dan Yusmini Mohd Yusoff. (2003) (Editor) Membangun Institusi Masjid. Kuala Lumpur: Jabatan Dakwah dan Pembangunan Masjid dan Intel Multmedia Publication.

Yusuf Assidiq.  (2008)  Masjid Harus Segera Dimakmurkan Kembali.  Indonesia:  Republika Online Newsroom.

Zuhairi Misrawi. (2011) Mekah Kota Suci. Batu Caves: PTS Milenia Sdn. Bhd.

Penutup

Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada hasil kajian serta temuramah yang dijalankan, dapat dirumuskan bahawa Masjid Jamiul Ehsan memainkan peranan dan fungsinya dengan baik sebagai pusat nadi yang terpenting dalam pembentukan masyarakat islam Kampung Kubu Gajah. Cara dan sistem pengurusan dan pentadbiran masjid pada zaman Rasulullah dijadikan ’role model’ dan diaplikasikan oleh Unit Pentadbiran Masjid Jamiul Ehsan.  Model ini dijadikan landasan bagi memastikan masjid ini berfungsi dengan baik mengikut peranan yang sepatutnya.  Segala program dan aktiviti yang dilaksanakan adalah hasil daripada perbincangan secara kolektif antara ahli-ahli unit pentadbiran dan melalui proses perundingan bagi memastikan tiada unsur permusuhan tercetus dikalangan mereka.

Berdasarkan pengamatan dan penelitian secara individu pula, saya berpendapat bahawa konsep, pengertian, fungsi serta peranan masjid perlu difahami dan dihayati. Bukan sahaja oleh ahli-ahli pengurusan dan pentadbiran masjid, bahkan perlu difahami oleh setiap umat islam yang bergelar hamba Allah yang juga sebagai khalifah di muka bumi ini.  Dengan cara ini, mereka dapat menyedari tentang kepentingan masjid dalam sesebuah komuniti dan juga betapa pentingnya untuk mereka mengimarah serta memakmurkannya.  Kesedaran tentang aspek-aspek tersebut perlu disemai di dalam diri setiap individu yang beragama islam.  Ini kerana, realitinya pada hari ini, kebanyakkan masjid-masjid yang ada masih kurang jumlah pengunjung yang mengimarahkannya terutama pada waktu solat-solat fardhu.  Sedangkan apabila tiba hari Jumaat dan hari perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha bilangan mereka yang bertandang ke masjid terlalu ramai.

Tambah menghairankan lagi, ada segelintir masyarakat yang sanggup mengharungi perjalanan jauh semata-mata untuk melawat dan menghayati keindahan senibina sesetengah masjid seperti Masjid Kristal yang terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu. Sedangkan masjid di qariah sendiri yang terletak berhampiran dengan rumah jarang-jarang dikunjungi.  Justeru, ianya menunjukan bahawa masjid-masjid hanya dikenali dan dikunjungi kerana kecantikan seni binanya, bentuk kubahnya, tinggi menaranya dan menarik tulisan-tulisan khat yang menghiasai dindingnya bahkan ia boleh dikatakan menjadi tempat tumpuan pelancong semata-mata.

Bagi menghayati dan memahami fungsi dan peranan masjid yang sebenar, latar belakang sejarah masjid dan pembinaannya perlu diimbau kembali dan dijadikan petanda aras.  Rujuk kembali sejarah masjid-masjid terawal yang didirikan didunia beserta tujuan dan peranannya.  Terdapat 3 masjid yang paling utama iaitu Masjid al-Haram di Mekah, Masjid al-Aqsa di Baitul-Maqdis dan Masjid Nabawi di Madinah.  Masjid-masjid ini dibina dengan tujuan menjadi pusat tumpuan manusia seluruh dunia bagi umat islam khususnya.  Selain itu, masjid-masjid ini juga menjadi lambang penyatuan ummah.

Berasaskan kepada tradisi-tradisi masjid inilah maka kemudiannya terbina masjid-masjid yang begitu banyak sekali bilangannya dalam sejarah islam.  Tujuannya adalah tidak lain dan tidak bukan sebagai pusat ibadat dan pusat komuniti bagi masyarakat.  Lantaran itu, adalah menjadi amalan biasa dalam sejarah tamadun islam, apabila sesuatu kawasan itu hendak dijadikan kawasan berpendudukan, bangunan yang paling awal sekali dibina ialah masjid. 

Sebelum mengakhiri nukilan saya ini, ingin saya tekankan bahawa untuk memastikan institusi-institusi masjid ini terus hidup daripada segi fungsi dan peranannya, setiap umat islam hendaklah mempunyai kesedaran tentang tanggungjawab mereka terhadap masjid di qariah mereka.  Tidak kira samada sebagai individu yang mengurus dan mentadbir masjid mahupun sebagai individu yang menjadi tetamu di masjid.  Sekiranya setiap individu tersebut menumpukan sepenuh penghayatan terhadap tanggungjawab tersebut dengan niat yang tulus kerana mengharapkan keredhaan Allah, maka tidak mustahil setiap masjid akan sentiasa dibanjiri oleh individu-individu ini setiap kali azan solat fardhu berkumandang dan setiap kali program ilmiah diadakan. 

Masalah-Masalah Yang Dihadapi Dan Jalan Penyelesaiannya

Terdapat beberapa masalah-masalah yang dihadapi di Masjid Jamiul Ehsan di mana secara langsung permasalahan tersebut menjadi tanggungjawab Unit Pentadbiran masjid.  Antara masalah-masalah yang dihadapi dan jalan penyelesaian yang diambil oleh mereka ialah:

Ruang Solat Tidak Dapat Menampung Kapasiti Jemaah
Pada waktu tertentu bagi menunaikan ibadah khusus seperti solat Jumaat, solat Terawih, solat Aidilfitri dan Aidiladha.  Ruang solat yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah jemaah yang hadir untuk menunaikan solat.  Masalah kebanjiran jemaah sering dihadapi.  Ada diantara mereka terpaksa menunaikan solat sehingga ke bahu jalan dan kawasan meletak kenderaan.  Oleh itu, unit pentadbiran masjid telah mewujudkan tabung simpanan bagi tujuan untuk menaiktaraf bangunan yang secara langsung meningkatkan jumlah kapasiti yang boleh dimuatkan di ruang solat.  Mereka juga turut menerima sumbangan daripada dermawan-dermawan yang menetap di Kampung Kubu Gajah.  Biarpun proses ini memakan masa, ini menunjukkan bahawa mereka peka terhadap perkembangan populasi setempat.

Kecurian
Masalah ekonomi yang kian meruncing turut memberi impak terhadap masjid.  Kes kecurian bukan sahaja berlaku di kawasan perumahan malah ia turut berlaku di masjid.  Tabung-tabung kutipan diumpil dan dipecah, harta benda masjid diambil, malahan motosikal jemaah masjid turut sama dilarikan oleh mereka yang terdesak dan hilang pertimbangan.  Beberapa langkah bagi mencegah gejala kecurian ini daripada berlarutan telah diambil oleh Unit Pentadbiran masjid.  Wang kutipan di dalam tabung-tabung dikutip setiap hari oleh bendahari dan disimpankan ke dalam akaun bank secara berkala.  Jemaah yang datang menunaikan solat disarankan untuk merantai serta mengunci kenderaan mereka.  Alternatif lain ialah dengan mengadakan solat hajat secara beramai-ramai dengan tujuan agar mereka yang melakukan perkara tersebut diberi hidayah oleh Allah.


Kurang Pelapis Golongan Muda
Golongan muda yang berminat untuk menceburi bidang pengurusan hal ehwal masjid ternyata masih kurang.  Kebanyakkan penggerak masjid adalah golongan pertengahan usia.  Kebanyakkan golongan muda yang ada sekarang masih takut dan kurang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang ini.  Sememangnya menjadi satu kerisauan terhadap unit pentadbiran masjid tentang siapa yang bakal menggantikan tempat mereka kelak.  Bagi mencegah hal ini daripada berlaku, unit pentadbiran masjid mengalakkan qariah-qariah masjid untuk mendaftarkan anak-anak mereka sebagai Anak Qariah Masjid Jamiul Ehsan.  Mereka digalakkan untuk menyertai segala program yang diadakan di masjid bagi membentuk dan memupuk minat mereka selaku golongan muda dalam bidang pengurusan masjid ini.

Masjid Sebagai Tempat Berpolitik Kepartian
Fungsi masjid sering ingin dijadikan tempat untuk berpolitik oleh sesetengah pihak yang berkepentingan.  Seringkali, ceramah yang ingin diadakan oleh pihak luar berkaitan dengan isu politik semasa bagi meraih undi masyarakat setempat.  Secara tidak langsung, penduduk setempat yang mempunyai perbezaan fahaman politik bertindak untuk bersikap pilih bulu.  Sedangkan masjid perlu bebas daripada apa saja sifat dan aktiviti yang boleh memecahkan perpaduan ummah.  Berlandaskan prinsip ini, Unit Pentadbiran Masjid Jamiul Ehsan sentiasa mengenal pasti tujuan dan isu-isu ceramah yang ingin diadakan oleh pihak penganjur.  Sekiranya didapati mempunyai unsur yang berkepentingan atau politik kepartian, mereka akan menolak usul tersebut dengan cara yang berhemah.

Bilangan Jemaah Yang Sedikit Bagi Solat Lima Waktu
Meskipun populasi penduduk yang beragama islam di Kampung Kubu Gajah dianggarkan mencecah 4,000 orang, namun bilangan mereka yang datang untuk sama-sama menunaikan solat secara berjemaah masih sedikit.  Kebiasaannya hanya beberapa saf atau beranggaran 20-30 orang sahaja.  Paling sedikit bilangannya adalah pada waktu Subuh, Zohor dan Asar.  Faktor ini mungkin disebabkan oleh kebanyakkan penduduk di kampung ini rata-ratanya bekerja di bandar.  Tiada jalan penyelesaian yang spesifik bagi masalah ini kerana ia melibatkan sifat serta sikap individu.  Hanya yang boleh dilakukan ialah terus menerus memberi galakkan kepada mereka bagi sama-sama menunaikan solat fardhu lima waktu secara berjemaah.

Fungsi Serta Peranan Masjid Jamiul Ehsan

Masjid Jamiul Ehsan merupakan Pusat Komuniti bagi umat islam setempat di Kampung Kubu Gajah berkumpul bagi tujuan ibadat.  Oleh itu, bagi merealisasikan peranan masjid yang sebenar-benarnya, Unit Pentadbiran Masjid Jamiul Ehsan sentiasa menganjurkan serta melaksanakan pelbagai aktiviti atau program yang berunsurkan agama yang berbentuk pengisian yang juga disebut sebgai ’ta’mir’.  Tujuan utama perlaksanaan aktiviti dan program ini adalah untuk memupuk perpaduan antara penduduk setempat yang beragama islam tanpa mengira bangsa samada Melayu, India mahupun Cina.  Sesuai dengan perspektif bahawa masjid adalah lambang perpaduan ummah, pihak pentadbiran masjid sentiasa memastikan masjid ini bebas daripada aktiviti yang memecahkan perpaduan ummah. Masjid Jamiul Ehsan bukan sahaja berperanan sebagai tempat untuk menunaikan ibadah khusus, malah ianya memainkan pelbagai peranan penting.  Berikut adalah peranan-peranan yang dimainkan oleh Masjid Jamiul Ehsan berserta huraiannya:

Pusat Perkembangan Masyarakat
Unit pentadbiran masjid sering mengadakan mesyuarat bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat.  Masalah-masalah yang dibincangkan tidak terhad kepada sesuatu isu kerana ia bertujuan untuk mengetahui perkembangan tentang apa yang berlaku di kawasan sekeliling.  Seperti contoh, masalah kekurangan kemudahan prasarana bagi tujuan riadah, rekreasi dan juga pembelajaran.  Ianya bertujuan untuk memperbaiki kehidupan sosial masyarakat dan juga mengeratkan hubungan masyarakat dan masjid.

Pusat Santapan Rohani
Selain ibadah khusus, pelbagai aktiviti serta program yang berbentuk pengisian rohani dijalankan hampir setiap minggu di Masjid Jamiul Ehsan ini.  Segala aktiviti dan program pendidikan dakwah dijalankan secara percuma. Pakar-pakar agama yang mana segelintirnya adalah terdiri daripada ahli unit pentadbiran sendiri secara sukarela menawarkan khidmat mereka dalam mencurahkan ilmu yang ada kepada masyarakat setempat.  Contoh aktiviti dan program yang diadakan ialah kuliah agama, ceramah umum, sesi soal jawab berkenaan isu agama, kelas fardhu ain, kelas pengurusan jenazah dan kelas bacaan Al-Quran.

Pusat Kebajikan Islam
Meskipun pada masa kini terdapat banyak bantuan yang dihulurkan oleh Pusat Zakat atau badan-badan kebajikan yang lain kepada golongan miskin.  Unit pentadbiran masjid prihatin terhadap golongan-golongan miskin di kampung.  Langkah-langkah proaktif telah diambil oleh mereka bagi memastikan golongan ini tidak merasa tersisih. Unit pentadbiran masjid mewujudkan tabung khas bagi membantu golongan-golongan ini.  Meskipun jumlah sumbangan tidak banyak jumlahnya, ia serba sedikit dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh golongan yang kurang berkemampuan ini.

Pusat Penggerak Muhibbah
Unit pentadbiran masjid sentiasa menjadi penggerak dalam mengeratkan hubungan antara penduduk-penduduk setempat. Seperti contoh, sekiranya ada penduduk setempat yang ingin mengadakan majlis bacaan doa selamat, majlis tahlil, majlis kenduri aruah atau sebagainya, pihak masjid akan menampalkan notis dipapan buletin masjid atau mengumumkannya selepas waktu solat menyeru agar jemaah yang hadir turut serta memeriahkan majlis tersebut.  Selain daripada itu, unit pentadbiran sering mengadakan gotong royong bagi membersihkan masjid dan kawasan persekitarannya dan ianya disambut baik oleh masyarakat kampung.

Pusat Memerangi Maksiat
Masalah sosial di kampung yang membabitkan remaja khususnya turut dipandang serius oleh unit pentadbiran masjid.  Masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, minum arak dan zina semakin berleluasa abad ini.  Masalah ini turut dialami dimana-mana sahaja walaupun di kawasan-kawasan perkampungan seperti di Kampung Kubu Gajah ini, masalah tersebut tetap timbul.  Oleh itu, unit pentadbiran masjid menjadikan masjid ini sebagai pusat untuk memerangi maksiat.  Rondaan dilakukan secara berkala bersama-sama dengan bantuan anggota rela bagi memantau dan memerangi gejala ini.

Peranan-peranan yang disebutkan diatas dilaksanakan sebagai usaha Unit Pentadbiran Masjid Jamiul Ehsan untuk proses pembinaan sosial ke arah mencapai keredhaan Allah.  Berasaskan kepada keperluan ini, mereka berharap agar dapat memupuk semangat perpaduan ummah dan juga dapat membina generasi baru yang memasyarakatkan atau memakmurkan masjid di masa akan datang kelak.

Sejarah Penubuhan Masjid Jamiul Ehsan


Masjid Jamiul Ehsan terletak di pertengahan kawasan Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh, Selangor Darul Ehsan. Menurut pihak pentadbir masjid tersebut, masjid ini telah berusia 35 tahun.  Ianya telah dibuka dan dirasmikan oleh Tengku Ideris Shah Ibnu Sultan Sallehuddin Abd. Aziz Shah D.K.SPM Raja Muda pada hari Jumaat, 30 RabiulAkhir 1396 bersamaan 30 April 1976 dan masih teguh berdiri hingga kini.  Daripada tempoh tersebut, masjid ini telah menjalani beberapa fasa pengubahsuaian secara berperingkat-peringkat. Setakat ini, pengubahsuaian yang telah dilakukan adalah meluaskan kawasan ruang solat utama dan verandah. Ini bertujuan bagi menambahkan jumlah kapasiti jemaah yang boleh dimuatkan di dalam masjid, disamping memulihara bangunan dan kemudahan-kemudahan yang ada. Ini berikutan dengan penambahan bilangan penduduk yang meningkat saban tahun. 

Pada ketika ini, kapasiti anggaran ruang solat utama boleh memuatkan 300 orang manakala kapasiti anggaran verandah boleh memuatkan 200 orang.  Mengikut statistik bancian pada tahun 2006, dianggarkan seramai 5,500 orang menetap di Kampung Kubu Gajah yang mana majoriti penduduknya adalah berbangsa melayu dan beragama islam iaitu kira-kira 4,000 orang.  Sejajar dengan pertumbuhan kadar penduduk setempat ini, pihak masjid sekali lagi telah mengadakan kutipan dana bagi memperluas dan menaik taraf bangunan masjid ini bagi menampung jumlah kapasiti jemaah yang lebih besar.   Kawasan persekitaran masjid terdiri daripada sekolah rendah agama, balai raya, tadika kemas dan juga perpustakaan. 

Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Nazir Masjid Jamiul Ehsan, Encik Sulaiman Najib Bin Abu, Unit Pentadbiran atau lebih dikenali sebagai Unit Amal Kampung Kubu Gajah telah ditubuhkan untuk mentadbir dan menerajui segala aktiviti-aktiviti yang diadakan di masjid ini.  Sistem pentadbiran masjid yang lebih sistematik ini hanya diperkenalkan pada tahun 1987. Seramai 23 orang terlibat dalam Unit Pentadbiran Masjid Jamiul Ehsan yang terdiri daripada Penasihat, Nazir, Bilal, Imam, Bendahari serta Ahli-Ahli Jawatan Kuasa. Mereka merupakan tulang belakang yang menguruskan segala perihal masjid.  Pemegang-pemegang jawatan masjid dirombak setiap 4 tahun.

Daripada aspek rekabentuk pula, pada ketika ini bangunan Masjid Jamiul Ehsan bercirikan campuran rekabentuk arkitektur tradisional dan arkitektur luar seperti seni bina pengaruh dari Asia Barat, Timur Tengah, India Muslim dan Afrika Utara.  Ini kerana masjid ini mempunyai bumbung berbentuk seperti piramid dan juga mempunyai kubah berbentuk bawang.  Pengubahsuaian yang akan dilakukan akan lebih bercirikan unsur-unsur seni bina India dan China serta seni bina tempatan iaitu masjid berbentuk tumpang kerana kriteria pelan baru menampakkan bentuk bumbung yang berlapis dengan susunan dua atau tiga buah bumbung.  Masjid berbentuk tumpang juga dikenali sebagai masjid bumbung berlapis atau som (rabung) pecah empat atau masjid bumbung bertingkat.  Keistimewaan struktur rekabentuk ini ialah diantara setiap lapisan bumbung terdapat ruang pengudaraan untuk mengalirkan keluar udara yang panas dan diganti dengan udara baru yang juga dikenali sebagai sistem ventilasi.

Konsep Dan Pengertian Masjid

Masjid memainkan peranan yang sangat penting dalam membangunkan umat islam dan menegakkan tamadun kehidupan mereka.  Takrif atau istilah masjid berasal daripada bahasa arab iaitu ’masjad’,’sajada’,’yasjudu’ dan ’sujudan’, yang membawa erti sujud.  Berasaskan pengertian inilah perkataan tersebut digunakan sebagai nama tempat kita melakukan solat yang dikenali sebagai masjid.  Ini kerana, sujud antara gerakan utama dalam memunaikan solat.  Secara terperinci, masjid mempunyai dua erti, iaitu erti umum dan erti khusus.  Masjid dalam erti umum adalah semua tempat yang digunakan untuk sujud dinamakan masjid kerana Nabi pernah berkata, Allah menjadikan muka bumi ini sebagai tempat untuk bersujud yakni masjid.  Sedangkan masjid dalam pengertian khusus adalah tempat atau bangunan yang dibangun khusus untuk menunaikan ibadat, terutama solat secara berjamaah.

Pengertian ini juga jika dikupas secara terperinci, ia memecahkan masjid kepada kategori-kategori iaitu Masjid Jamek dan Surau.  Masjid Jamek adalah merujuk kepada masjid utama sesuatu kawasan ataupun qariah.  ’Jamek’ bermaksud besar.  Oleh itu, hanya ada satu masjid jamek sahaja di sesebuah petempatan dan biasanya solat berjemaah yang diwajibkan dilakukan beramai-ramai seperti solat Jumaat  diadakan di masjid ini.  Manakala, masjid yang kecil sesuai dengan keperluan yang hanya digunakan untuk solat lima waktu samada di kawasan perkampungan, desa, tempat-tempat umum disebut sebagai ’musollah’ iaitu surau.

Dalam konteks penjelasan lain bagi takrif masjid pula, masjid ialah suatu kawasan yang mempunyai bangunan yang diperbuat daripada batu dan kayu tetapi dikhaskan dan diniatkan untuk masjid maka dengan demikian ia telah menjadi masjid.  Ia juga merupakan bangunan rasmi untuk umat islam melaksanakan kegiatan ibadah yang biasanya mempunyai mimbar, mihrab, menara dan sebagainya.  Konsep masjid bukan hanya sebagai tempat untuk menunaikan solat atau tempat berkumpulnya umat islam dalam kelompok masyarakat di petempatan tertentu.  Tetapi masjid juga merupakan sebuah institusi atau pusat untuk mentadbir dan mengendalikan masyarakat sesebuah petempatan.

 Masjid juga disebut sebagai Rumah Allah (Baitullah) bahkan sebagai Rumah Masyarakat (Bait al Jami’).  Ianya boleh dijadikan sebagai tempat untuk mengadakan majlis ilmu, akad nikah, mesyuarat dan lain-lain kegiatan yang dibenarkan oleh agama. Masjid adalah syiar islam dan menjadi nadi pembangunan masyarakat islam duniawi dan akhirat. 

Masjid mempunyai falsafah yang tersendiri dan yang paling utama adalah untuk mengukuhkan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama persekitaran.  Antara falsafah-falsafah masjid yang selebihnya adalah seperti berikut :

  1. Mengajak manusia kepada ketakwaan dan menjauhi kemaksiatan.
  2. Meninggikan syiar islam dan menghapuskan kesyirikan.
  3. Mengamankan manusia dari ketakutan dan mengamankan masyarakat dari persengketaan.
  4. Menyatukan perbezaan dan mempertautkan ummah yang berpecah.
  5. Mengajar yang jahil dan menyedarkan yang lalai.
  6. Menyuburkan penghayatan amal jamai dan amal ijtimai.

Pendahuluan

Assalamualaikum w.b.t

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.  Selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad s.a.w. Nabi dan Rasul terakhir. Kebelakangan ini kita dapati berlaku pelbagai peristiwa, bencana, perkara pelik serta ajaib yang boleh kita lihat di hadapan mata kita sendiri mahupun yang dipaparkan di dalam media massa tempatan dan luar negara.

Bagi sesetengah pihak, peristiwa, bencana dan perkara pelik yang berlaku itu tidak memberi apa-apa erti kepada mereka.  Ada segelintir daripada mereka pula langsung menolak kaitan perkara-perkara tersebut dengan Allah, sebaliknya dikatakan hanya sebagai lumrah alam dan suatu kebetulan sahaja.  Berkaitan dengan peristiwa dan bencana yang berlaku seperti tsunami, gempa bumi, taufan, dan juga fenomena pemanasan global yang melanda hampir setiap pelusuk dunia.  Ramai yang bertanggapan bahawa ianya sekadar tabiat alam semulajadi dan tidak menganggap ianya sebagai amaran daripada Allah terhadap umat manusia akibat daripada kelalaian serta kemungkaran yang dilakukan oleh mereka.

Jika diimbau kembali peristiwa atau bencana tsunami yang melanda Aceh dan Sumatera Utara.  Keajaiban yang teramat sangat dapat dilihat dengan nyata apabila semua bangunan hampir lenyap kecuali masjid-masjid yang masih tegak berdiri.  Masjid-masjid tersebut ialah Masjid Raya Baiturrahman Bandar Aceh, Masjid Teuku Umar, masjid di BTN Ajun, Peurada, Lempineng dan di Penayong.  Saat segalanya hancur menyembah bumi, masjid-masjid ini masih ampuh dan mengalami kerosakan yang minima.  Banyak pihak percaya terutamanya umat islam seluruh dunia bahawa ini bukanlah suatu kebetulan.  Mungkin Allah menurunkan bencana tersebut dengan tujuan memberi peringatan bagi menyedarkan manusia bahawa segala harta benda boleh musnah tetapi rumah-rumah Allah akan sentiasa terpelihara dan sebagai seruan agar umat islam sentiasa ingat untuk kembali mengunjungi serta memeriahkan masjid.

Tujuan penulisan ini adalah untuk menjelaskan tentang masjid. Konsep, pengertian, sejarah penubuhan serta peranannya sebagai sebuah tempat ibadat dan pusat komuniti umat islam setempat akan dikupas dalam penulisan ini.  Turut diselitkan di dalam penulisan ini masalah-masalah yang dihadapi oleh masjid serta jalan penyelesaian yang diambil oleh pihak pengurusan masjid. 

Diharap dengan penulisan ini, dapat sama-sama kita memahami konsep serta pengertian masjid dan peranannya  di sesebuah petempatan. Sepertimana dapat dilihat pada masa kini, masjid-masjid hanya dikunjungi dengan ramainya hanya pada waktu-waktu tertentu. Seperti contoh, pada hari Jumaat pada waktu solat Jumaat, solat tarawih di bulan ramadhan dan juga solat sunat raya semasa hari-hari perayaan.  Selain daripada memupuk minat pembaca untuk sama-sama memeriahkan serta memakmurkan masjid di masa hadapan, hasil penulisan ini juga diharap dapat menyedarkan sesetengah pihak agar tidak menganggap masjid hanya sekadar tempat untuk beribadat dan tempat untuk menunaikan solat semata-mata.

Abstrak

            Masjid amat sinonim dikalangan umat manusia khususnya bagi mereka yang beragama islam sebagai tempat untuk berhimpun samada untuk menunaikan solat, beribadat serta berdakwah.  Istilah ‘Masjid’ berasal daripada perkataan arab iaitu ‘sajada’, ’yasjudu’, ‘sujudan’ ataupun ‘masjad’ yang membawa maksud ‘sujud’ daripada segi bahasa.  Berdasarkan pengertian bahasa inilah perkataan tersebut diadaptasi sebagai nama tempat untuk menunaikan solat.  Terdapat satu nama lain bagi masjid iaitu ’Baitullah’ yang membawa erti ‘Rumah Allah’.  Namun penggunaan perkataan ‘Baitullah’ ini tidak secara nyata atau hakiki, ianya lebih kepada sebuah perumpamaan yang disandarkan bagi memuliakan masjid.  Ini adalah kerana telah maklum bahawa Allah tidak bertempat dan tiada berpihak dan dirinya tidak berkehendak kepada zat dan tiada berkehendakkan kepada yang menjadikan.  Masjid merupakan pusat komuniti bagi masyarakat yang beragama islam di sesebuah qariah berkumpul.  Qariah atau qaryah ialah suatu tempat di mana sebilangan atau ramai orang yang tinggal bersama-sama.  Di negara islam, masjid didirikan hampir di setiap pelusuk, tidak kira sama ada di bandar mahupun kawasan luar bandar seperti di kampung dan di desa.  Secara khususnya, masjid berperanan sebagai pusat beribadat dan bukan sekadar tempat untuk menunaikan solat.  Ini kerana pengertian ibadat sangat luas dan pelbagai.  Apa jua aktiviti yang dilakukan di masjid yang bertujuan untuk merealisasikan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah dianggap sebagai ibadat.  Oleh itu, program-program seperti ceramah agama, kursus fardhu ain, kursus bacaan Al-Quran, kursus pengurusan jenazah dan sebagainya dibenarkan diadakan di masjid.  Secara keseluruhannya, peranan masjid mempunyai skop yang amat luas dan pelbagai, bergantung kepada pengurusan dan kewangan masjid tersebut.  Namun, peranan utama masjid dalam suatu kelompok penempatan adalah untuk membentuk keharmonian dan perpaduan antara masyarakat islam setempat.  Amatlah penting untuk memastikan masjid sentiasa bersih daripada segala bentuk kekotoran samada dari segi hissi mahupun maknawi.  Ini kerana masjid merupakan tempat ibadat bagi umat islam mengabdikan diri kepada Allah, sebaik-baiknya ia terpelihara daripada segala kekotoran samada yang tersurat mahupun yang tersirat. Selain itu, ianya juga penting bagi mencerminkan imej yang positif kepada masyarakat luar serta penganut agama lain bahawa islam itu bersih.

Sunday, February 20, 2011

Isi Kandungan

  1. Abstrak
  2. Pendahuluan
  3. Konsep/Pengertian Masjid
  4. Sejarah Penubuhan Masjid Jamiul Ehsan
  5. Peranan/Kegiatan Masjid Jamiul Ehsan
  6. Masalah-Masalah Yang Dihadapi Dan Jalan Penyelesaiannya
  7. Penutup
  8. Bibliografi

Muka Hadapan


TAJUK :
SEJARAH PEMBANGUNAN DAN KEGIATAN
MASJID JAMIUL EHSAN


DISEDIAKAN UNTUK :
USTAZ ABD AZIZ BIN HARJIN


DISEDIAKAN OLEH :
FATIN AZIERA BINTI RAHMAT
2010421868
           

KUMPULAN :
ASD2EN

DIPLOMA KIMIA PERINDUSTRIAN
(AS 115)

PEMIKIRAN DAN TAMADUN ISLAM

TARIKH HANTAR :
28 FEBRUARI 2011