Terdapat beberapa masalah-masalah yang dihadapi di Masjid Jamiul Ehsan di mana secara langsung permasalahan tersebut menjadi tanggungjawab Unit Pentadbiran masjid. Antara masalah-masalah yang dihadapi dan jalan penyelesaian yang diambil oleh mereka ialah:
Ruang Solat Tidak Dapat Menampung Kapasiti Jemaah
Pada waktu tertentu bagi menunaikan ibadah khusus seperti solat Jumaat, solat Terawih, solat Aidilfitri dan Aidiladha. Ruang solat yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah jemaah yang hadir untuk menunaikan solat. Masalah kebanjiran jemaah sering dihadapi. Ada diantara mereka terpaksa menunaikan solat sehingga ke bahu jalan dan kawasan meletak kenderaan. Oleh itu, unit pentadbiran masjid telah mewujudkan tabung simpanan bagi tujuan untuk menaiktaraf bangunan yang secara langsung meningkatkan jumlah kapasiti yang boleh dimuatkan di ruang solat. Mereka juga turut menerima sumbangan daripada dermawan-dermawan yang menetap di Kampung Kubu Gajah. Biarpun proses ini memakan masa, ini menunjukkan bahawa mereka peka terhadap perkembangan populasi setempat.
Kecurian
Masalah ekonomi yang kian meruncing turut memberi impak terhadap masjid. Kes kecurian bukan sahaja berlaku di kawasan perumahan malah ia turut berlaku di masjid. Tabung-tabung kutipan diumpil dan dipecah, harta benda masjid diambil, malahan motosikal jemaah masjid turut sama dilarikan oleh mereka yang terdesak dan hilang pertimbangan. Beberapa langkah bagi mencegah gejala kecurian ini daripada berlarutan telah diambil oleh Unit Pentadbiran masjid. Wang kutipan di dalam tabung-tabung dikutip setiap hari oleh bendahari dan disimpankan ke dalam akaun bank secara berkala. Jemaah yang datang menunaikan solat disarankan untuk merantai serta mengunci kenderaan mereka. Alternatif lain ialah dengan mengadakan solat hajat secara beramai-ramai dengan tujuan agar mereka yang melakukan perkara tersebut diberi hidayah oleh Allah.
Kurang Pelapis Golongan Muda
Golongan muda yang berminat untuk menceburi bidang pengurusan hal ehwal masjid ternyata masih kurang. Kebanyakkan penggerak masjid adalah golongan pertengahan usia. Kebanyakkan golongan muda yang ada sekarang masih takut dan kurang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang ini. Sememangnya menjadi satu kerisauan terhadap unit pentadbiran masjid tentang siapa yang bakal menggantikan tempat mereka kelak. Bagi mencegah hal ini daripada berlaku, unit pentadbiran masjid mengalakkan qariah-qariah masjid untuk mendaftarkan anak-anak mereka sebagai Anak Qariah Masjid Jamiul Ehsan. Mereka digalakkan untuk menyertai segala program yang diadakan di masjid bagi membentuk dan memupuk minat mereka selaku golongan muda dalam bidang pengurusan masjid ini.
Masjid Sebagai Tempat Berpolitik Kepartian
Fungsi masjid sering ingin dijadikan tempat untuk berpolitik oleh sesetengah pihak yang berkepentingan. Seringkali, ceramah yang ingin diadakan oleh pihak luar berkaitan dengan isu politik semasa bagi meraih undi masyarakat setempat. Secara tidak langsung, penduduk setempat yang mempunyai perbezaan fahaman politik bertindak untuk bersikap pilih bulu. Sedangkan masjid perlu bebas daripada apa saja sifat dan aktiviti yang boleh memecahkan perpaduan ummah. Berlandaskan prinsip ini, Unit Pentadbiran Masjid Jamiul Ehsan sentiasa mengenal pasti tujuan dan isu-isu ceramah yang ingin diadakan oleh pihak penganjur. Sekiranya didapati mempunyai unsur yang berkepentingan atau politik kepartian, mereka akan menolak usul tersebut dengan cara yang berhemah.
Bilangan Jemaah Yang Sedikit Bagi Solat Lima Waktu
Meskipun populasi penduduk yang beragama islam di Kampung Kubu Gajah dianggarkan mencecah 4,000 orang, namun bilangan mereka yang datang untuk sama-sama menunaikan solat secara berjemaah masih sedikit. Kebiasaannya hanya beberapa saf atau beranggaran 20-30 orang sahaja. Paling sedikit bilangannya adalah pada waktu Subuh, Zohor dan Asar. Faktor ini mungkin disebabkan oleh kebanyakkan penduduk di kampung ini rata-ratanya bekerja di bandar. Tiada jalan penyelesaian yang spesifik bagi masalah ini kerana ia melibatkan sifat serta sikap individu. Hanya yang boleh dilakukan ialah terus menerus memberi galakkan kepada mereka bagi sama-sama menunaikan solat fardhu lima waktu secara berjemaah.
No comments:
Post a Comment