Masjid Jamiul Ehsan terletak di pertengahan kawasan Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh, Selangor Darul Ehsan. Menurut pihak pentadbir masjid tersebut, masjid ini telah berusia 35 tahun. Ianya telah dibuka dan dirasmikan oleh Tengku Ideris Shah Ibnu Sultan Sallehuddin Abd. Aziz Shah D.K.SPM Raja Muda pada hari Jumaat, 30 RabiulAkhir 1396 bersamaan 30 April 1976 dan masih teguh berdiri hingga kini. Daripada tempoh tersebut, masjid ini telah menjalani beberapa fasa pengubahsuaian secara berperingkat-peringkat. Setakat ini, pengubahsuaian yang telah dilakukan adalah meluaskan kawasan ruang solat utama dan verandah. Ini bertujuan bagi menambahkan jumlah kapasiti jemaah yang boleh dimuatkan di dalam masjid, disamping memulihara bangunan dan kemudahan-kemudahan yang ada. Ini berikutan dengan penambahan bilangan penduduk yang meningkat saban tahun.
Pada ketika ini, kapasiti anggaran ruang solat utama boleh memuatkan 300 orang manakala kapasiti anggaran verandah boleh memuatkan 200 orang. Mengikut statistik bancian pada tahun 2006, dianggarkan seramai 5,500 orang menetap di Kampung Kubu Gajah yang mana majoriti penduduknya adalah berbangsa melayu dan beragama islam iaitu kira-kira 4,000 orang. Sejajar dengan pertumbuhan kadar penduduk setempat ini, pihak masjid sekali lagi telah mengadakan kutipan dana bagi memperluas dan menaik taraf bangunan masjid ini bagi menampung jumlah kapasiti jemaah yang lebih besar. Kawasan persekitaran masjid terdiri daripada sekolah rendah agama, balai raya, tadika kemas dan juga perpustakaan.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Nazir Masjid Jamiul Ehsan, Encik Sulaiman Najib Bin Abu, Unit Pentadbiran atau lebih dikenali sebagai Unit Amal Kampung Kubu Gajah telah ditubuhkan untuk mentadbir dan menerajui segala aktiviti-aktiviti yang diadakan di masjid ini. Sistem pentadbiran masjid yang lebih sistematik ini hanya diperkenalkan pada tahun 1987. Seramai 23 orang terlibat dalam Unit Pentadbiran Masjid Jamiul Ehsan yang terdiri daripada Penasihat, Nazir, Bilal, Imam, Bendahari serta Ahli-Ahli Jawatan Kuasa. Mereka merupakan tulang belakang yang menguruskan segala perihal masjid. Pemegang-pemegang jawatan masjid dirombak setiap 4 tahun.
Daripada aspek rekabentuk pula, pada ketika ini bangunan Masjid Jamiul Ehsan bercirikan campuran rekabentuk arkitektur tradisional dan arkitektur luar seperti seni bina pengaruh dari Asia Barat, Timur Tengah, India Muslim dan Afrika Utara. Ini kerana masjid ini mempunyai bumbung berbentuk seperti piramid dan juga mempunyai kubah berbentuk bawang. Pengubahsuaian yang akan dilakukan akan lebih bercirikan unsur-unsur seni bina India dan China serta seni bina tempatan iaitu masjid berbentuk tumpang kerana kriteria pelan baru menampakkan bentuk bumbung yang berlapis dengan susunan dua atau tiga buah bumbung. Masjid berbentuk tumpang juga dikenali sebagai masjid bumbung berlapis atau som (rabung) pecah empat atau masjid bumbung bertingkat. Keistimewaan struktur rekabentuk ini ialah diantara setiap lapisan bumbung terdapat ruang pengudaraan untuk mengalirkan keluar udara yang panas dan diganti dengan udara baru yang juga dikenali sebagai sistem ventilasi.
No comments:
Post a Comment