Wednesday, February 23, 2011

Fungsi Serta Peranan Masjid Jamiul Ehsan

Masjid Jamiul Ehsan merupakan Pusat Komuniti bagi umat islam setempat di Kampung Kubu Gajah berkumpul bagi tujuan ibadat.  Oleh itu, bagi merealisasikan peranan masjid yang sebenar-benarnya, Unit Pentadbiran Masjid Jamiul Ehsan sentiasa menganjurkan serta melaksanakan pelbagai aktiviti atau program yang berunsurkan agama yang berbentuk pengisian yang juga disebut sebgai ’ta’mir’.  Tujuan utama perlaksanaan aktiviti dan program ini adalah untuk memupuk perpaduan antara penduduk setempat yang beragama islam tanpa mengira bangsa samada Melayu, India mahupun Cina.  Sesuai dengan perspektif bahawa masjid adalah lambang perpaduan ummah, pihak pentadbiran masjid sentiasa memastikan masjid ini bebas daripada aktiviti yang memecahkan perpaduan ummah. Masjid Jamiul Ehsan bukan sahaja berperanan sebagai tempat untuk menunaikan ibadah khusus, malah ianya memainkan pelbagai peranan penting.  Berikut adalah peranan-peranan yang dimainkan oleh Masjid Jamiul Ehsan berserta huraiannya:

Pusat Perkembangan Masyarakat
Unit pentadbiran masjid sering mengadakan mesyuarat bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat.  Masalah-masalah yang dibincangkan tidak terhad kepada sesuatu isu kerana ia bertujuan untuk mengetahui perkembangan tentang apa yang berlaku di kawasan sekeliling.  Seperti contoh, masalah kekurangan kemudahan prasarana bagi tujuan riadah, rekreasi dan juga pembelajaran.  Ianya bertujuan untuk memperbaiki kehidupan sosial masyarakat dan juga mengeratkan hubungan masyarakat dan masjid.

Pusat Santapan Rohani
Selain ibadah khusus, pelbagai aktiviti serta program yang berbentuk pengisian rohani dijalankan hampir setiap minggu di Masjid Jamiul Ehsan ini.  Segala aktiviti dan program pendidikan dakwah dijalankan secara percuma. Pakar-pakar agama yang mana segelintirnya adalah terdiri daripada ahli unit pentadbiran sendiri secara sukarela menawarkan khidmat mereka dalam mencurahkan ilmu yang ada kepada masyarakat setempat.  Contoh aktiviti dan program yang diadakan ialah kuliah agama, ceramah umum, sesi soal jawab berkenaan isu agama, kelas fardhu ain, kelas pengurusan jenazah dan kelas bacaan Al-Quran.

Pusat Kebajikan Islam
Meskipun pada masa kini terdapat banyak bantuan yang dihulurkan oleh Pusat Zakat atau badan-badan kebajikan yang lain kepada golongan miskin.  Unit pentadbiran masjid prihatin terhadap golongan-golongan miskin di kampung.  Langkah-langkah proaktif telah diambil oleh mereka bagi memastikan golongan ini tidak merasa tersisih. Unit pentadbiran masjid mewujudkan tabung khas bagi membantu golongan-golongan ini.  Meskipun jumlah sumbangan tidak banyak jumlahnya, ia serba sedikit dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh golongan yang kurang berkemampuan ini.

Pusat Penggerak Muhibbah
Unit pentadbiran masjid sentiasa menjadi penggerak dalam mengeratkan hubungan antara penduduk-penduduk setempat. Seperti contoh, sekiranya ada penduduk setempat yang ingin mengadakan majlis bacaan doa selamat, majlis tahlil, majlis kenduri aruah atau sebagainya, pihak masjid akan menampalkan notis dipapan buletin masjid atau mengumumkannya selepas waktu solat menyeru agar jemaah yang hadir turut serta memeriahkan majlis tersebut.  Selain daripada itu, unit pentadbiran sering mengadakan gotong royong bagi membersihkan masjid dan kawasan persekitarannya dan ianya disambut baik oleh masyarakat kampung.

Pusat Memerangi Maksiat
Masalah sosial di kampung yang membabitkan remaja khususnya turut dipandang serius oleh unit pentadbiran masjid.  Masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, minum arak dan zina semakin berleluasa abad ini.  Masalah ini turut dialami dimana-mana sahaja walaupun di kawasan-kawasan perkampungan seperti di Kampung Kubu Gajah ini, masalah tersebut tetap timbul.  Oleh itu, unit pentadbiran masjid menjadikan masjid ini sebagai pusat untuk memerangi maksiat.  Rondaan dilakukan secara berkala bersama-sama dengan bantuan anggota rela bagi memantau dan memerangi gejala ini.

Peranan-peranan yang disebutkan diatas dilaksanakan sebagai usaha Unit Pentadbiran Masjid Jamiul Ehsan untuk proses pembinaan sosial ke arah mencapai keredhaan Allah.  Berasaskan kepada keperluan ini, mereka berharap agar dapat memupuk semangat perpaduan ummah dan juga dapat membina generasi baru yang memasyarakatkan atau memakmurkan masjid di masa akan datang kelak.

No comments:

Post a Comment