Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada hasil kajian serta temuramah yang dijalankan, dapat dirumuskan bahawa Masjid Jamiul Ehsan memainkan peranan dan fungsinya dengan baik sebagai pusat nadi yang terpenting dalam pembentukan masyarakat islam Kampung Kubu Gajah. Cara dan sistem pengurusan dan pentadbiran masjid pada zaman Rasulullah dijadikan ’role model’ dan diaplikasikan oleh Unit Pentadbiran Masjid Jamiul Ehsan. Model ini dijadikan landasan bagi memastikan masjid ini berfungsi dengan baik mengikut peranan yang sepatutnya. Segala program dan aktiviti yang dilaksanakan adalah hasil daripada perbincangan secara kolektif antara ahli-ahli unit pentadbiran dan melalui proses perundingan bagi memastikan tiada unsur permusuhan tercetus dikalangan mereka.
Berdasarkan pengamatan dan penelitian secara individu pula, saya berpendapat bahawa konsep, pengertian, fungsi serta peranan masjid perlu difahami dan dihayati. Bukan sahaja oleh ahli-ahli pengurusan dan pentadbiran masjid, bahkan perlu difahami oleh setiap umat islam yang bergelar hamba Allah yang juga sebagai khalifah di muka bumi ini. Dengan cara ini, mereka dapat menyedari tentang kepentingan masjid dalam sesebuah komuniti dan juga betapa pentingnya untuk mereka mengimarah serta memakmurkannya. Kesedaran tentang aspek-aspek tersebut perlu disemai di dalam diri setiap individu yang beragama islam. Ini kerana, realitinya pada hari ini, kebanyakkan masjid-masjid yang ada masih kurang jumlah pengunjung yang mengimarahkannya terutama pada waktu solat-solat fardhu. Sedangkan apabila tiba hari Jumaat dan hari perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha bilangan mereka yang bertandang ke masjid terlalu ramai.
Tambah menghairankan lagi, ada segelintir masyarakat yang sanggup mengharungi perjalanan jauh semata-mata untuk melawat dan menghayati keindahan senibina sesetengah masjid seperti Masjid Kristal yang terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu. Sedangkan masjid di qariah sendiri yang terletak berhampiran dengan rumah jarang-jarang dikunjungi. Justeru, ianya menunjukan bahawa masjid-masjid hanya dikenali dan dikunjungi kerana kecantikan seni binanya, bentuk kubahnya, tinggi menaranya dan menarik tulisan-tulisan khat yang menghiasai dindingnya bahkan ia boleh dikatakan menjadi tempat tumpuan pelancong semata-mata.
Bagi menghayati dan memahami fungsi dan peranan masjid yang sebenar, latar belakang sejarah masjid dan pembinaannya perlu diimbau kembali dan dijadikan petanda aras. Rujuk kembali sejarah masjid-masjid terawal yang didirikan didunia beserta tujuan dan peranannya. Terdapat 3 masjid yang paling utama iaitu Masjid al-Haram di Mekah, Masjid al-Aqsa di Baitul-Maqdis dan Masjid Nabawi di Madinah. Masjid-masjid ini dibina dengan tujuan menjadi pusat tumpuan manusia seluruh dunia bagi umat islam khususnya. Selain itu, masjid-masjid ini juga menjadi lambang penyatuan ummah.
Berasaskan kepada tradisi-tradisi masjid inilah maka kemudiannya terbina masjid-masjid yang begitu banyak sekali bilangannya dalam sejarah islam. Tujuannya adalah tidak lain dan tidak bukan sebagai pusat ibadat dan pusat komuniti bagi masyarakat. Lantaran itu, adalah menjadi amalan biasa dalam sejarah tamadun islam, apabila sesuatu kawasan itu hendak dijadikan kawasan berpendudukan, bangunan yang paling awal sekali dibina ialah masjid.
Sebelum mengakhiri nukilan saya ini, ingin saya tekankan bahawa untuk memastikan institusi-institusi masjid ini terus hidup daripada segi fungsi dan peranannya, setiap umat islam hendaklah mempunyai kesedaran tentang tanggungjawab mereka terhadap masjid di qariah mereka. Tidak kira samada sebagai individu yang mengurus dan mentadbir masjid mahupun sebagai individu yang menjadi tetamu di masjid. Sekiranya setiap individu tersebut menumpukan sepenuh penghayatan terhadap tanggungjawab tersebut dengan niat yang tulus kerana mengharapkan keredhaan Allah, maka tidak mustahil setiap masjid akan sentiasa dibanjiri oleh individu-individu ini setiap kali azan solat fardhu berkumandang dan setiap kali program ilmiah diadakan.
No comments:
Post a Comment