Assalamualaikum w.b.t
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad s.a.w. Nabi dan Rasul terakhir. Kebelakangan ini kita dapati berlaku pelbagai peristiwa, bencana, perkara pelik serta ajaib yang boleh kita lihat di hadapan mata kita sendiri mahupun yang dipaparkan di dalam media massa tempatan dan luar negara.
Bagi sesetengah pihak, peristiwa, bencana dan perkara pelik yang berlaku itu tidak memberi apa-apa erti kepada mereka. Ada segelintir daripada mereka pula langsung menolak kaitan perkara-perkara tersebut dengan Allah, sebaliknya dikatakan hanya sebagai lumrah alam dan suatu kebetulan sahaja. Berkaitan dengan peristiwa dan bencana yang berlaku seperti tsunami, gempa bumi, taufan, dan juga fenomena pemanasan global yang melanda hampir setiap pelusuk dunia. Ramai yang bertanggapan bahawa ianya sekadar tabiat alam semulajadi dan tidak menganggap ianya sebagai amaran daripada Allah terhadap umat manusia akibat daripada kelalaian serta kemungkaran yang dilakukan oleh mereka.
Jika diimbau kembali peristiwa atau bencana tsunami yang melanda Aceh dan Sumatera Utara. Keajaiban yang teramat sangat dapat dilihat dengan nyata apabila semua bangunan hampir lenyap kecuali masjid-masjid yang masih tegak berdiri. Masjid-masjid tersebut ialah Masjid Raya Baiturrahman Bandar Aceh, Masjid Teuku Umar, masjid di BTN Ajun, Peurada, Lempineng dan di Penayong. Saat segalanya hancur menyembah bumi, masjid-masjid ini masih ampuh dan mengalami kerosakan yang minima. Banyak pihak percaya terutamanya umat islam seluruh dunia bahawa ini bukanlah suatu kebetulan. Mungkin Allah menurunkan bencana tersebut dengan tujuan memberi peringatan bagi menyedarkan manusia bahawa segala harta benda boleh musnah tetapi rumah-rumah Allah akan sentiasa terpelihara dan sebagai seruan agar umat islam sentiasa ingat untuk kembali mengunjungi serta memeriahkan masjid.
Tujuan penulisan ini adalah untuk menjelaskan tentang masjid. Konsep, pengertian, sejarah penubuhan serta peranannya sebagai sebuah tempat ibadat dan pusat komuniti umat islam setempat akan dikupas dalam penulisan ini. Turut diselitkan di dalam penulisan ini masalah-masalah yang dihadapi oleh masjid serta jalan penyelesaian yang diambil oleh pihak pengurusan masjid.
Diharap dengan penulisan ini, dapat sama-sama kita memahami konsep serta pengertian masjid dan peranannya di sesebuah petempatan. Sepertimana dapat dilihat pada masa kini, masjid-masjid hanya dikunjungi dengan ramainya hanya pada waktu-waktu tertentu. Seperti contoh, pada hari Jumaat pada waktu solat Jumaat, solat tarawih di bulan ramadhan dan juga solat sunat raya semasa hari-hari perayaan. Selain daripada memupuk minat pembaca untuk sama-sama memeriahkan serta memakmurkan masjid di masa hadapan, hasil penulisan ini juga diharap dapat menyedarkan sesetengah pihak agar tidak menganggap masjid hanya sekadar tempat untuk beribadat dan tempat untuk menunaikan solat semata-mata.
No comments:
Post a Comment